Speech from Education Minister

The Ninth Malaysia Plan (9MP)’s speech by our Education Minister, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tarikh : 3 April 2006
Tempat : Auditorium Parcel D, Putrajaya
Masa : 8.30 pagi

Bismilah-ir Rahman-ir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Terima kasih saudara Pengacara Majlis
Yang Berhormat Dato’ Hon Choon Kim
Timbalan Menteri Pelajaran
Yang Berhormat Dato’ Noh Bin Omar
Timbalan Menteri Pelajaran
Yang Berhormat Puan Komala Devi
Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zulkurnain Bin Haji Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Ahamad bin Sipon
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Dato’-Dato’, Datin-Datin. Tuan-Tuan, Puan-Puan pegawai-pegawai kanan Kementerian
Pelajaran, seterusnya hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pembangunan Modal Insan
1. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat limpah dan kurniaNya dapat kita bersama-sama hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kali ke-4 bagi tahun 2006. Perhimpunan pada kali ini adalah berbeza, merupakan perhimpunan khas KPM bagi menyahut pelan perancangan dan bajet Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), 2006-2010 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri hanya 3 hari lepas.
2. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang telah berjaya mengemukakan satu pelan perancangan pembangunan negara menyeluruh dengan penekanan kepada development with a human touch atau people-centred development bagi mencapai pembangunan seimbang untuk mengukuh pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, mewujudkan masyarakat progresif, bersatu padu dan adil serta memupuk integrasi nasional. Saya menyokong penuh dasar dan rangka kerja pelaksanaan baru Misi Nasional ini.
3. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Y.A.B. Dato’ Seri Perdana Menteri yang telah memberi kepercayaan penuh dan komitmen kepada KPM sebagai jentera Kerajaan yang utama dalam mendidik anak bangsa dan membangunkan modal insan negara pada peringkat persekolahan.
4. KPM telah menerima peruntukan yang besar, menduduki tempat kedua tertinggi mengikut Kementerian selepas Jabatan Perdana Menteri, dengan siling sebanyak RM23.198 bilion atau 10.5 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan.
5. Perdana Menteri kita telah mengingatkan semua bahawa negara kita sekarang berada di peringkat pertengahan dan sedang memasuki fasa 15 tahun kedua untuk berada diambang pencapaian Wawasan 2020 dan menikmati taraf Negara maju. Sebenarnya negara kita telah banyak mencapai kejayaan dalam tempoh 15 tahun yang lampau dalam usaha membangunkan negara, memajukan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sektor pendidikan di bawah KPM sendiri telah menunjukkan perkembangan yang pesat dari segi penyediaan infrastruktur, pengisian dan tenaga pengajar yang kesemuanya menjurus kepada usaha meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan.
6. Di sebalik kejayaan yang telah dapat kita kecapi, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk kita melonjak ke tahap negara maju menjelang 2020. Masih banyak perlu kita lakukan untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia. Dalam tempoh RMKe-9 ini, kita perlu menjadikan segala kekuatan dan kelemahan pelaksanaan program dan projek dalam Rancangan yang lalu sebagai tauladan dan sempadan. Kita perlu meningkatkan azam dan bekerja bersama-sama untuk memastikan amanah yang diletakkan di bahu kita oleh rakyat dan Negara ditunaikan dengan sebaik-baiknya, bebas dari sebarang kesilapan agar integriti dan kredibiliti KPM sentiasa dipandang tinggi oleh rakyat.

Matlamat dan Fokus Pembangunan Pendidikan
7. Kita telahpun merancang hala tuju, dasar dan fokus pembangunan Pendidikan bagi RMKe-9 sejak dua tahun yang lepas dengan mengambilkira wawasan, matlamat, dasar dan perancangan negara. Perancangan pembangunan pendidikan kita akan dirangka untuk memenuhi tiga matlamat utama, iaitu pertama, membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang dicita-citakan di dalam negara maju Malaysia tahun 2020; kedua, menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan agar pada tahun 2020 kelak, tiada sebarang pihak yang tercicir dari arus kemajuan negara; dan ketiga, terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang dicapai oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.
8. Bagi memastikan matlamat perancangan pembangunan pendidikan ini tercapai, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memberikan tumpuan kepada enam agenda utama, iaitu;
i. Pertama, membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
ii. Kedua, memperkasakan sekolah kebangsaan.
iii. Ketiga, merapatkan jurang pendidikan.
iv. Keempat, memartabat profesion perguruan.
v. Kelima, meningkatkan pengurusan pendidikan.
vi. Keenam, memperkasa bahasa kebangsaan.
9. Tempoh lima tahun yang akan datang ini amat penting kerana ia akan menjadi asas kepada penyediaan Bangsa Malaysia yang kita kehendaki dalam Negara maju Malaysia tahun 2020. Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, anak-anak kita perlu mampu bersaing bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan seluruh masyarakat dunia. Kita akan menanda aras sistem pendidikan negara dengan amalan-amalan terbaik di negara-negara yang lebih maju.
10. Dari aspek pembangunan fizikal, dalam tempoh lima tahun ini, setidak-tidaknya kita mesti berusaha untuk memastikan sekolah-sekolah kita mempunyai infrastruktur asas dan tidak beroperasi dalam keadaan daif serta merbahaya. Kita juga akan membestarikan kesemua sekolah di seluruh negara. Sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini. Sebenarnya proses pembestarian telah pun mengambil tempat di sekolah-sekolah kita. Sebahagian besar sekolah kita telah dilengkapi dengan komputer meja, notebook dan pelbagai judul perisian-perisian kursus. 96 peratus atau 9,200 buah sekolah kita juga telah dirangkaikan dengan akses internet jalur lebar. Manakala sekitar 200,000 guru kita juga pernah dilatih untuk menggunakan perkakasan dan perisian ini.
11. Dari aspek pembangunan bukan fizikal pula, kita berhasrat untuk sentiasa memperkukuhkan kurikulum kita agar sesuai dengan kehendak dunia masa kini. Dalam sistem pendidikan yang ingin kita bangunkan nanti, kita mahu melahirkan generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat kerjasama berpasukan serta mampu memainkan peranan di dalam masyarakat. Kita tidak mahu sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan.
12. Bagi memastikan kita setara dengan negara-negara yang lebih maju di dunia, kita akan sentiasa membandingkan petunjuk-petunjuk pendidikan di negara kita dengan petunjuk-petunjuk pendidikan di negara-negara lain. Pada waktu yang sama, kementerian juga akan membangunkan mekanisme untuk memberi pendedahan, bertukar pengetahuan, menguji dan membandingkan produk sistem pendidikan kita dengan negara-negara lain di dunia seperti melalui penglibatan aktif di dalam aktiviti organisasi Pendidikan antarabangsa seperti UNESCO, OECD dan IEA.
13. Saya percaya, kita mempunyai sejumlah sekolah yang baik dan cemerlang untuk dijadikan show case kepada negara-negara lain di dunia. Untuk itu kita akan merangkaikan semua sekolah yang cemerlang ini dengan sekolah-sekolah terkenal di luar negara agar sekolah-sekolah yang cemerlang ini dapat dijadikan show-case kepada masyarakat antarabangsa. Bagi sekolah-sekolah di luar Kementerian Pelajaran seperti sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa, kita akan berusaha mengenal pasti sekolah-sekolah yang berpotensi dan merangka pelan pemasaran yang bersesuaian untuk memasarkan sekolah-sekolah ini ke negara-negara lain.

Memperkasa Sekolah Kebangsaan
14. Pendidikan negara kita telah berkembang di atas kekuatan dalam kepelbagaian jenis sekolah mengikut aliran dan sejarah penubuhannya. Namun, kerajaan akan berusaha memperkasa sekolah kebangsaan kerana yakin bahawa sekolah kebangsaan merupakan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan semangat cintakan negara di kalangan anak-anak kita. Ketika ini majoriti, iaitu sekitar 2.3 juta pelajar atau 76.3 peratus daripada sejumlah 3.1 juta pelajar sekolah rendah berada di 5,789 buah sekolah kebangsaan di seluruh negara. Di kalangan 5,789 buah Sekolah Kebangsaan ini pula, 4,036 daripadanya berada di luar bandar, 1,453 merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM), 309 merupakan Sekolah Bantuan Modal, 651 adalah sekolah dua sesi, 1,414 tidak mempunyai bekalan air awam, 768 tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan 1,988 masih belum mempunyai makmal dan bilik komputer. Kita berharap dalam tempoh lima tahun ini, kita akan dapat mengadakan infrastruktur asas kepada semua Sekolah Kebangsaan yang terpinggir ini.
15. Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan juga mencakupi inisiatif menyediakan peluang seluas-luasnya untuk murid-murid mempelajari bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Inilah usaha secara telus untuk menarik minat ibu bapa bukan Melayu memilih sekolah kebangsaan. Hasrat KPM ialah untuk melahirkan generasi yang menguasai lebih dua bahasa termasuk bahasa Inggeris untuk berperanan sebagai warga global di masa akan datang.
16. Untuk menarik minat ibu bapa Islam, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan juga melibatkan pelaksanaan program j-QAF. Program ini telah dirintis pada tahun 2004 dan diperluaskan ke 1,221 sekolah pada tahun 2005. Seterusnya dalam tempoh RMKe-9, program ini akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara.
17. Usaha menyediakan peluang pendidikan prasekolah di sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara juga akan dipertingkatkan. Kini KPM sudah berjaya menyediakan peluang kepada 77,000 daripada 192,000 kanak-kanak yang tidak mengikuti pendidikan prasekolah khususnya di luar bandar dan pedalaman. Matlamat KPM ialah untuk memperluaskan pendidikan prasekolah kepada 36 peratus daripada lebih 500,000 kanak-kanak berumur antara 5 hingga 6 tahun di negara kita. Dalam tempoh RMKe-9, sebanyak RM327.3 juta diperuntukkan bagi menyediakan lebih daripada 3,100 kelas yang mana 80 peratus daripadanya adalah di luar bandar dan pedalaman.
18. Kita percaya bahawa kecacatan tidak menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan. Selain menambahbaik kemudahan di sekolah pendidikan khas sedia ada, KPM akan membina dua lagi sekolah menengah pendidikan khas vokasional dan melipatganda kemudahan di sekolah harian kepada orang kurang upaya melalui program integrasi di seluruh negara.
19. Kita juga percaya bahawa program sokongan dan bantuan boleh meningkatkan kadar penyertaan dan mengurangkan keciciran di kalangan murid miskin. Oleh itu, program sokongan dan bantuan seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Baucar Tuisyen, Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah dan Skim Pinjaman Buku Teks akan terus diperluaskan. Kita akan lebih telus dalam urusan pemilihan dan pengagihan dengan memperkemaskan lagi prosedur dan proses di semua peringkat.
20. Kerajaan amat perihatin kepada perubahan-perubahan yang berlaku di peringkat global yang memberi kesan ke atas daya saing sistem pendidikan. Oleh itu kita akan terus memantapkan kurikulum sekolah bagi memastikan kurikulum yang disediakan sentiasa relevan dan berkualiti. Sistem penyampaian Pendidikan akan dipertingkat dengan mengkaji semula dan mengemaskini kandungan kurikulum dengan mengambilkira bidang baru, mereka bentuk mata pelajaran, kursus dan program baru dan mengukuh pembelajaran berpusatkan pelajar.
21. Selaras dengan usaha memartabatkan warisan budaya dan kesenian, Kerajaan memperuntukkan RM60 juta bagi melaksanakan dua buah Sekolah Seni untuk memperkenalkan kurikulum seni kepada pelajar berpotensi pada peringkat menengah.
22. Sistem pentaksiran memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti pendidikan dan pencapaian pelajar yang melalui proses pendidikan berkenaan. Namun, dengan cabaran dan keperluan semasa supaya sekolah menyediakan pendidikan holistik bagi melahirkan insan seimbang, sistem pentaksiran yang ada perlu berubah dan memberi lebih penekanan kepada pentaksiran berasaskan tugasan kerja (task-based assessment). Saya telah mengumumkan bahawa kita akan mengkaji semula sistem pentaksiran untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu exam-oriented. Dalam hal ini juga, saya mahu supaya sistem semester dikaji kebolehlaksanaannya di sekolah-sekolah kita. Bagi meningkatkan kualiti sistem pentaksiran, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM26.6 juta dalam RMKe-9.
23. Pada masa yang sama, program sukan dan kokurikulum akan dimantapkan dengan melipatgandakan penyertaan murid dalam pelbagai aktiviti kokurikulum bagi membina sahsiah, disiplin, semangat patriotik dan sifat kepimpinan di kalangan murid. Dalam RMKe-9, Kerajaan memperuntukkan RM160.1 juta bagi meningkatkan prasarana dan peralatan sukan, terutamanya Pusat Sukan Daerah dan Negeri serta memperluas dan meningkatkan program dan aktiviti sukan di sekolah. Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan atau RIMUP juga akan dipergiatkan lagi bagi menggalakkan aktiviti sukan dan kokurikulum antara sekolah bagi memupuk perpaduan di kalangan murid pelbagai kaum.
24. Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan juga melibatkan langkah meningkatkan disiplin, keselamatan, kebersihan dan kesihatan di sekolahsekolah. Pada akhirnya, kita berharap melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan, kita akan dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, menyeronokkan serta mampu memupuk perpaduan kaum.
25. Sesungguhnya, agenda memperkasakan sekolah kebangsaan ini tidak pula menyekat pembangunan sekolah aliran lain. Kerajaan akan terus membela sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan. Malah peruntukan bantuan modal kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan ditambah dua kali ganda kepada RM100 juta dalam RMKe-9.

Merapatkan Jurang Pendidikan
26. Kerajaan komited terhadap usaha merapatkan jurang antara bandar-luar Bandar dan memperuntukkan RM1.15 bilion bagi program luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak. Harapan kita ialah supaya semua sekolah akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik serta mendapat bilik darjah, asrama dan rumah guru yang mencukupi, selesa dan selamat. Bagi menentukan murid-murid di pedalaman mendapat khidmat guru-guru terlatih dan berkualiti, Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan wajib bagi guru-guru baru. Saya percaya guruguru adalah komited dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas murni mendidik anak-anak kita sama ada di luar bandar ataupun di bandar. Agensiagensi lain termasuklah beberapa Kementerian seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan luar bandar perlu terlibat sama dalam usaha kita menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik di luar bandar.
27. KPM berazam untuk mengurangkan kadar keciciran. Program pemulihan di sekolah-sekolah akan diperluas dan dimantapkan. Semua sekolah akan mempunyai kelas dan guru program pemulihan bagi membolehkan murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira pada peringkat sekolah rendah lagi. Malah untuk mencapai matlamat yang sama, kemudahan ICT akan diperluaskan untuk merapatkan jurang digital di sekolah-sekolah kita.

Memartabatkan Profesion Perguruan
28. Menyedari bahawa gurulah penjana masyarakat berilmu dan bertamaddun, maka usaha mengangkat martabat guru akan diteruskan dalam RMKe-9. Di samping meneruskan peluang kenaikan pangkat melalui time-based yang dinikmati oleh 35,500 orang guru pada waktu ini, Kerajaan telah memberi peluang kepada peneraju sekolah untuk menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C di kalangan pengetua yang menunjukkan kewibawaan dan kecekapan yang tinggi dalam pengurusan sekolah. Bagi menunjukkan rasa terima kasih Kerajaan kepada golongan guru yang telah banyak berjasa, Skim Pinjaman Buku Teks telah diperluaskan kepada semua anak-anak guru di seluruh negara. Malah pelbagai insentif lain disediakan termasuk bagi guru yang sanggup untuk berkhidmat di luar bandar dan pedalaman dengan beberapa bentuk elaun seperti elaun kesusahan. Di samping itu, KPM akan terus menyediakan kemudahan tempat tinggal yang mencukupi di luar bandar, pedalaman dan bandaraya melalui pembinaan kuarters baru serta menggantikan dan membaikpulih kuarters sedia ada yang lama dan daif. KPM telah merancang untuk melaksanakan lebih 4,300 unit kuarters pendidikan dengan kos sebanyak RM709.2 juta.
29. Kerajaan sedar bahawa tugas mendidik bukanlah perkara yang mudah. Apabila guru terbeban dengan tugas-tugas bukan mengajar, maka masa dan tenaga mereka tidak akan sepenuhnya berfokus kepada tugas asasi mereka untuk mengajar dalam bilik darjah. Ini merugikan murid-murid dan merugikan negara. Oleh itu, KPM akan mengkaji semula norma perjawatan guru agar nisbahnya dengan murid berupaya menghasilkan pengajaran pembelajaran yang berkualiti dan berkesan.
30. Usaha meningkatkan kualiti pengajaran guru ini telah bermula dengan persetujuan Kerajaaan menaikkan taraf maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru yang boleh menganugerah ijazah sarjana muda perguruan. Pembangunan fizikal maktab perguruan dalam RMKe-9 tertumpu kepada penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan lebih sempurna, sesuai dengan statusnya sebagai Institut Pendidikan Guru yang melibatkan kos RM509.2 juta. Ini akan diikuti dengan langkah mengetatkan lagi syarat-syarat pengambilan calon guru untuk mengikuti program pengajian agar kualiti guru terjamin. Kita mahu orang yang berjiwa guru dan betul-betul berminat menjadi guru dipilih. Dengan itu, kewibawaan profesion perguruan akan dapat dipertahankan pada tahap yang tinggi. Malah melalui jalinan hubungan dengan institusi perguruan lain yang terkemuka di luar negara, KPM berharap kualiti guru kita dapat dipertingkatkan setanding dengan guru-guru lain di peringkat antarabangsa.

Meningkatkan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan
31. Sistem pemantauan perlu dipertingkatkan untuk menjamin kualiti system penyampaian di setiap peringkat. Amalan budaya cemerlang dan berwibawa berlandaskan Pelan Integriti Nasional perlu diutamakan. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, dalam RMKe-9, KPM akan menyediakan peluang berkursus yang lebih luas kepada pegawai dan staf sokongan pendidikan dengan menubuhkan dua kampus baru Institut Aminuddin Baki yang akan dapat melatih lebih daripada 180,000 peserta setahun serta meningkatkan kemudahan di kampus sedia ada dengan kos keseluruhan sebanyak RM280.0 juta. Sejajar dengan usaha tersebut, prasarana pejabat pendidikan, khususnya Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan diberi wajah baru melalui penyediaan pejabat baru, tambahan dan naiktaraf dengan kos sebanyak RM421.5 juta.

Pelan Induk Perancangan Pendidikan
32. Segala yang dirancang bagi RMKe-9 ini, walau baik mana sekalipun, tidak akan berjaya jika kita tidak dapat menterjemahkannya kepada strategi dan pelan tindakan yang jelas dan tepat untuk pelaksanaan dan menghasilkan output serta outcome pendidikan yang dihasratkan. Pada peringkat negara, kita telahpun ada pelan RMKe-9 dan Misi Nasional yang menjadi rangka kerja bagi mencapai wawasan negara maju 2020. Pada peringkat Kementerian pula, selaras dengan wawasan, dasar dan pelan perancangan pembangunan negara serta Blueprint KPM 2001-2010, KPM telah menghasilkan Pelan Induk Perancangan Pendidikan RMKe-9 yang menggariskan strategi pelaksanaan, pelan tindakan dan indicator pencapaian yang disasarkan bagi setiap agenda, program dan projek kita bagi tempoh 2006-2010. Saya akan membincangkan Pelan Induk ini secara terperinci dan melancarkannya tidak lama lagi dalam bulan April ini.
33. Berbe za dengan pendekatan dan kaedah pelaksanaan Blueprint KPM sebelum ini, setelah Pelan Induk dilancarkan nanti, saya mahu setiap agensi pelaksanan menterjemahkannya kepada Pelan Tindakan Jabatan/Bahagian atau institusi masing-masing bagi memastikan tindakan yang betul dan jelas untuk mencapai matlamat perancangan dan sasaran yang telah digariskan bagi tempoh Rancangan ini. Saya mahu supaya satu Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 diwujudkan di peringkat KPM untuk bertindak sebagai penggerak utama Pelan Induk serta memantau dan menilai pelaksanaannya, menangani isu yang timbul dan memutuskan alternative penyelesaian terbaik. Pendek kata, Pelan ini memerlukan seluruh jentera pentadbiran Kementerian dari peringkat Jabatan/Bahagian KPM hinggalah ke peringkat JPN, PPD, sekolah, kolej dan maktab perguruan secara menyeluruh dan bersepadu bersama-sama melaksana serta memantau dan menilai pelaksanaannya.
34. Pemantauan dan penilaian perlu diutamakan dalam menjayakan Pelan Induk ini. Saya telah mengarahkan supaya satu pasukan pemantauan diwujudkan di KPM dan diketuai oleh Ketua Setiausaha bagi memastikan setiap program dan projek RMKe-9 yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tepat mengikut sasarannya. Usaha ini juga akan membolehkan penilaian yang lebih objektif selaras dengan langkah Kerajaan untuk memperkukuhkan jentera pentadbirannya dengan memberi lebih penekanan kepada aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan impak.

Harapan
35. Saya berharap penglibatan secara menyeluruh dan dengan penuh keazaman dari setiap golongan dan lapisan masyarakat akan memberi corak kepada pelaksanaan program dan projek yang lebih mantap.
36. Kita mahu faedah daripada pelaburan yang besar ini dinikmati oleh seluruh rakyat melalui penyertaan semua pihak. Kita mahu setiap lapisan masyarakat, terutamanya ibu bapa, guru-guru, barisan kepimpinan sekolah dan para pelajar berperanan menjayakan misi kita mengangkat sistem pendidikan negara ke pentas dunia. Saya menyeru supaya setiap Jabatan/Bahagian di peringkat pusat, negeri, daerah dan sekolah, berserta seluruh warganya untuk bersama-sama bergerak sebagai satu pasukan bagi mencapai matlamat kita yang sama. Menerusi usaha yang tekal dan bersungguh-sungguh, kita akan membangunkan pendidikan negara ke arah kecemerlangan bertaraf dunia dan sekaligus menyokong wawasan mencapai negara maju menjelang 2020.

Sekian, terima kasih.